Kebun Komuniti Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Kebun komuniti perkukuh keterjaminan makanan negara

Kebun komuniti perkukuh keterjaminan makanan negara

Article Summary
Isu keterjaminan makanan semakin mendapat perhatian masyarakat khususnya selepas dunia berdepan pelbagai cabaran global yang menjejaskan rantaian bekalan makanan. Dalam situasi ini, kebun komuniti dilihat sebagai antara pendekatan paling berkesan dalam membantu masyarakat menghasilkan sumber makanan sendiri secara mampan.


Oleh:  Noor Eszereen Juferi

 

Isu keterjaminan makanan semakin mendapat perhatian masyarakat khususnya selepas dunia berdepan pelbagai cabaran global yang menjejaskan rantaian bekalan makanan. Dalam situasi ini, kebun komuniti dilihat sebagai antara pendekatan paling berkesan dalam membantu masyarakat menghasilkan sumber makanan sendiri secara mampan.

 

Kebun komuniti bukan sekadar kawasan tanaman yang diusahakan secara bersama, tetapi menjadi medium memperkukuh hubungan sosial, meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan makanan sihat dan membina daya tahan komuniti.

 

Masyarakat kini semakin sedar bahawa keterjaminan makanan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pasaran luar, sebaliknya perlu bermula daripada komuniti setempat.

 

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Juju Nakasha Jaafar, berkata kebun komuniti merupakan platform yang menyatukan masyarakat melalui aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan.

 

“Sebenarnya setiap komuniti mempunyai pendekatan berbeza dalam menguruskan kebun mereka, namun matlamatnya tetap sama iaitu memastikan komuniti mempunyai akses kepada sumber makanan yang lebih stabil dan berterusan.

 

“Kebun komuniti perlu diurus secara terancang dan signifikan supaya manfaatnya benar-benar dirasai masyarakat kerana bukan sahaja membantu menghasilkan makanan malah turut membina rasa kebersamaan serta semangat memiliki dalam kalangan komuniti,” katanya.

 

Tambah beliau, kejayaan kebun komuniti bergantung kepada sokongan berterusan serta penglibatan aktif ahli komuniti sendiri.

 

“Walaupun terdapat cabaran pada peringkat awal seperti modal penyediaan tapak dan penyelarasan aktiviti, penggunaan ilmu serta teknik pertanian yang betul mampu membantu projek bertahan dalam jangka panjang.

 

“Majoriti kebun komuniti yang berjaya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk benar-benar stabil dan menunjukkan impak. Dalam tempoh itu komuniti perlu membina pengalaman, ilmu dan jaringan sokongan,” katanya.

 

Dr. Juju Nakasha berkata, kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan penting bagi memastikan kebun komuniti dapat berkembang secara tersusun.

 

“Sokongan daripada pelbagai pihak mampu membantu komuniti mendapatkan tapak, kemudahan asas, latihan dan bantuan teknikal,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata kebun komuniti bukan sekadar aktiviti bercucuk tanam, tetapi menjadi salah satu mekanisme penting dalam menangani isu keterjaminan makanan negara.

 

“Dengan pengurusan yang baik serta sokongan semua pihak kebun komuniti mampu membantu menjamin bekalan makanan negara serta menjana pendapatan dan mengeratkan hubungan masyarakat,” katanya.

 

Dalam pada itu, Pensyarah, Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, UPM, Prof. Madya Dr. Yuzine Esa, berkata beliau melihat kebun komuniti sebagai ruang yang berpotensi besar untuk digabungkan dengan elemen akuakultur dan teknologi moden.

 

“Trend pertanian bandar dan projek komuniti semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini selari dengan kesedaran masyarakat terhadap isu keselamatan makanan dan pemakanan sihat.

 

“Kebun komuniti hari ini tidak lagi terhad kepada tanaman semata-mata malah akuakultur juga boleh dilaksanakan dalam skala kecil di kawasan komuniti bagi membantu menambah sumber protein kepada masyarakat,” katanya.

 

Prof. Madya Dr. Yuzine berkata, spesies ikan seperti keli dan tilapia sesuai dijadikan permulaan bagi komuniti yang ingin menceburi ternakan ikan kerana mudah diurus dan cepat berhasil.

 

“Selepas berjaya mengendalikan ternakan asas, komuniti boleh berkembang kepada ternakan ikan patin, siakap air tawar dan puyu yang mempunyai nilai ekonomi lebih tinggi,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan golongan muda amat penting dalam memastikan kelangsungan projek kebun komuniti.

 

“Generasi muda yang lebih terdedah kepada teknologi mampu membawa pembaharuan melalui penggunaan Internet Kebendaan (IoT), sistem digital dan teknik pertanian pintar.

 

“Golongan muda hari ini lebih terbuka kepada teknologi. Mereka boleh membantu memperkenalkan sistem pertanian moden dan menjadikan kebun komuniti lebih sistematik serta produktif,” katanya.

 

Prof. Madya Dr. Yuzine turut berpandangan, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam membudayakan pertanian dalam kalangan pelajar.

 

“UPM sentiasa menggalakkan pelajar menjadi usahawan pertanian serta pelbagai inisiatif telah dijalankan antaranya di kolej kediaman juga terdapat aktiviti pertanian yang memberi peluang kepada pelajar mempelajari budaya pertanian secara lebih dekat,” katanya.

 

Date of Input: 19/06/2026 | Updated: 19/06/2026 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
X, (07:04:30pm-07:09:30pm, 19 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]